Geng Kami..

15 Apr 2014

Sang Helang Yang Setia

Al-kisah terdapat seorang pemburu mempunyai seekor burung helang yang sangat bijak. Setiap kali dia pergi berburu, pemburu itu mesti membawa burung itu bersama.

Pada suatu hari, pemburu itu masuk ke dalam hutan untuk memburu dengan helang kesayangannya. Sebaik tiba di dalam hutan, burung helang pun terbang sambil melihat ke bawah mencari binatang yang diburu oleh tuannya.

Tiba-tiba burung helang terbang dengan pantas ke satu tempat. Melihat reaksi helangnya, pemburu tahulah bahawa burung helang nampak binatang yang diburu. Apabila tiba ke tempat itu, pemburu nampak seekor pelanduk yang sedang enak memakan buah-buahan hutan di situ. Tanpa disangka pemburu, si pelanduk sedar akan kedatangan pemburu itu lalu menyelamatkan dirinya.

Pemburu dan helangnya pun mengejar pelanduk itu yang lari naik bukit dan turun bukit menyelamatkan dirinya daripada diburu. Pelanduk itu berlari dan terus berlari sehingga tiba di tepi sungai ia pun berhenti. Pelanduk itu mula resah kerana ia tidak boleh menyeberang sungai. Akhirnya pemburu pun berjaya menangkap pelanduk itu setelah penat mengejarnya tadi.


Selepas penat pemburu mengejar pelanduk itu, pemburu mula rasa sangat dahaga dan dia pergi ke tepi sungai untuk mencedok air sungai itu dengan tangan.

Apabila pemburu itu hendak meminum air sungai itu dengan tangan, tiba helangnya menepis air di tangan pemburu. Pemburu itu mencedok air sungai sekali lagi, burung helang menepis tangan tuannya sekali lagi.

Akibatnya pemburu itu sangat marah lalu memanah ke arah burung helang kesayangan yang sedang terbang itu. Burung helang itu pun jatuh menyembah bumi di tepian hulu sungai.

Pemburu itu berlari untuk mendapatkan burung helangnya dan mendapati helangnya telah mati dengan matanya yang terbuka, seolah-olah berkata, “Tuan, kenapa tuan memanah saya? Apa salah saya?”. Tidak jauh dari tempat burung helang itu jatuh, pemburu itu ternampak seekor ular berbisa yang telah mati. Racun daripada ular meleleh masuk ke dalam sungai.

Maka pemburu itu sedar mengapa helangnya itu menepis tangannya setiap kali dia hendak mencedok air sungai tersebut. Sesiapa yang meminum air sungai itu pasti akan jatuh sakit kelak.


Rasa kesal memanah helangnya pun membuak dalam hati pemburu itu. “Sungguh setia helang aku, maafkan aku helang” kata pemburu itu pada helangnya yang mati itu.

Kisah Pak Pandir

Pak Pandir suami Mak Andih dan mereka berdua tinggal di rumah buruk. Keadaan itu menyebabkan Mak Andih risau kerana apabila hujan air masuk melalui atap rumah mereka yang bocor. Mereka selalu basah dan kesejukan. Mak Andih cuba memujuk Pak Pandir supaya membaiki rumah mereka.

“Eh, manalah saya tahu! Itu kerja tukang rumah,” kata Pak Pandir cuba berdalih. Mak Andih mendapat satu akal, dia membuat sebatang lorong yang bermula dari rumah mereka. Lorong itu berbelit-belit merentas semak dan belukar yang akhirnya lorong itu sampai semula ke rumah mereka.


Esoknya, Mak Andih meminta Pak Pandir mencari kerja dan katanya, ada orang di hujung kampung mencari tukang rumah. Dia hendak membaiki rumahnya yang sudah buruk dan Mak Andih pun menyuruh Pak Pandir bekerja di sana dan lama-lama Pak Pandir bersetuju. Maka, berjalanlah Pak Pandir mengikut lorong itu hingga sampai ke sebuah rumah buruk.

Pak Pandir pun membaiki rumah itu dan bekerja dengan tekun. Dia menukar atap yang bocor, mengganti dinding yang kopak dan memaku semula lantai yang roboh. Sepekan dia bekerja keras, tuan rumah melayannya dengan baik dan menghidangkan Pak Pandir makanan dan minuman.

Pada hari yang kelapan, rumah itu siap dibaiki dan rupanya seperti rumah baru. Pak Pandir mendapat upah yang lumayan dan dia berlari-lari pulang. Dia menunjukkan wang upahan kepada Mak Andih isterinya. Tiba-tiba Pak Pandir hairan dan dia memandang ke sekeliling.

“Eh, Andih! Rumah kita sudah dibaiki? Siapa yang baiki? Siapa tukangnya?” tanya Pak Pandir.

“Ya, bang. Rumah kita sudah pun dibaiki. Tukangnya tak lain tak bukan ialah Pak Pandir!” jawab isterinya ketawa terkekeh-kekeh.


‘Apa! Saya yang membaiki rumah ini?” tanya Pak Pandir sambil menggaru kepala. Dia pun akhirnya ikut tertawa terkekeh-kekeh.

Si Luncai dan Labu-Labunya


Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang ke tengah laut. Si Luncai dihukum kerana kesalahannya mempermain-mainkan raja serta pembesar-pembesar baginda oleh itu dia menerima hukuman itu dengan tenang.

Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.

Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata; “kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?”

Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”

Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

Maka beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

“Biarkan! Biarkan!”

Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga lekalah mereka semuanya.

Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dar perahu itu. Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air yang dua biji itu.


Apabila sampai ke tengah laut, pesuruh raja pun mencampakkan guni itu ke dalam laut. Pada mereka, matilah Si Luncai dan merka pun baliklah memberitahu raja akan hal itu. Tiada siapa yang tahu bahawa Si Luncai sebenarnya telah berenang sampai ke pantai.

Sang Semut dan Sang Merpati


Pada suatu hari, seekor semut berjalan-jalan mencari makanan di pinggir sungai. Ѕeperti biasa dia berjalan dengan riang. Tiba-tiba ia terjatuh ke dalam sungai kerana tidak berhati-hati.

Semut itu timbul tenggelam dihanyutkan oleh arus sungai. Dia berusaha untuk berenang ketepi tetapi tidak berhasil sehingga kepenatan.

Kejadian itu disedari oleh seekor burung merpati. Burung merpati merasa kasihan terhadap nasib malang yang menimpa semut itu dan mahu menyelamatkannya.

Lalu burung merpati memetik daun dan menjatuhkannya berdekatan dengan semut. Semut merayap naik ke atas daun dan akhirnya dapat menyelamatkan dirinya. Daun itu akhirnya tiba ke tepi sungai dan semut pun terselamat.

Tidak lama kemudian, sang semut melihat seorang pemburu burung sedang mengendap-endap berusaha mendekati burung merpati yang telah menolongnya tadi. Semut menyedari bahaya yang bakal menimpa burung merpati yang baik tersebut. Semut segera berlari mendekati pemburu dan menggigit kaki sang pemburu.


Pemburu itu kesakitan dan terkejut, lalu mengibaskan ranting yang digunakan untuk menangkap burung. Burung merpati menyadari kehadiran pemburu yang sibuk mengibas-ngibaskan ranting dan kesakitan. Akhirnya burung merpati itu pun terbang menyelamatkan dirinya.

Kisah Mat Jenin


Pada suatu pagi Mat Jenin memanjat sepuluh batang pokok kepala. Dia sudah memetik lebih daripada lima puluh biji kelapa.

Semasa memanjat pokok yang kesebelas, Mat Jenin sudah mula berangan-angan dengan upah memetik kelapa itu nanti akan dibelikannya dua puluh biji telur ayam kampung. Setelah memetik lima biji kelapa kering daripada pokok kelapa itu, Mat Jenin tiba-tiba terasa letih dan dia ingin berehat di atas pokok.

Mat Jenin bertenggek di atas pelepah nyiur yang separuh kering. Dia pun memejamkan kedua-dua belah matanya dan dia menyambung semula angan-angannya. Telur-telur ayam yang dibeli itu akan dieramkan dan setelah membiak, ayam-ayam itu akan dijual. Kemudian wangnya akan dibelikan beberapa ekor kambing dan setelah membiak cukup besar, kambing itu juga akan dijual. Wangnya akan dibelikan juga beberapa ekor lembu.

Mat Jenin tersenyum gembira kerana lembu-lembunya sudah membiak dan gemuk-gemuk belaka. Jika dijual tentu wangnya dapat dibelikan beberapa ekor kuda dan kuda itu berguna untuk dijadikan tunggangan menghalau lembu-lembu di kawasan padang rumput.

Pada suatu hari semasa Mat Jenin bersiar-siar menunggang kuda putihnya, dia ternampak puteri raja. Memang sudah lama Mat Jenin berangan-angan hendak berjumpa dengan tuan puteri. Mat Jenin sungguh gembira kerana dia dapat membawa tuan puteri menunggang kuda bersam. Tuan Puteri gembira dan meminta Mat Jenin memacu kuda lebih pantas.

Mat Jenin terasa badannya terhenjut-henjut dan barulah dia merasa bagaimana sebenarnya orang menunggang kuda. Mat Jenin tidak sedar yang dia sedang terhenjut-henjut di atas pelepah nyiur. Akibat terlalu pantas, kuda Mat Jenin telah tersalah lompat lalu ia terperosok ke dalam perigi buta.

Pada masa itulah Mat Jenin membuka matanya dan dia mat terkejut kerana dirinya sedang melayang-layang di udara. Mat Jenin tidak segera buntu fikiran dan dia cuba mengimbangi badan dan duduk diam di atas pelepah nyiur yang melayang itu. Akhirnya Mat Jenin berjaya mendarat dengan kedua-dua belah kakinya tercegat.

Jiran-jirannya terlopong menyaksikan peristiwa itu dan Mat Jenin hanya tersenyum serta bersyukur kepada Tuhan kerana telah selamat.

“Usaha tetap jaya, tetapi angan-angan membawa celaka,” kata jirannya setelah mendengar cerita Mat Jenin.

Kisah Sang Gagak Yang Bijak.


Pada zaman dahulu tersebutlah kisah Sang Gagak yang bijak. Tibalah pada suatu musim yang sangat kering, di mana semua haiwan sukar untuk mendapatkan air sebagai minuman. Sang gagak terjumpa sebuah kendi yang berisi sedikit air. Malangnya kendi tersebut bermulut kecil dan tinggi.

Sang Gagak tidak dapat mencapai air tersebut. Dia berfikir mahu membaringkan kendi itu tetapi Sang Gagak bimbang air yang hanya tinggal sedikit akan tumpah. Burung gagak tetap berusaha dan berfikir mencari jalan penyelesaian.


Tiba-tiba sebiji buah yang kecil terjatuh dari pokok di atas kendi itu terus masuk ke dalam kendi. Sang gagak mendapati air di dalam kendi itu semakin menaik. Sang Gagak mendapat satu akal. Dia lalu mengambil batu-batu kecil berdekatan kendi, dan menjatuhkannya ke dalam kendi satu persatu. Setiap kali burung gagak itu memasukkan batu-batu kecil ke dalam kendi, permukaan air dalam kendi pun beransur-ansur naik dan bertambah tinggi hingga akhirnya air tersebut dapat diminum oleh sang gagak. Maka Sang Gagak pun tidak lagi merasa kehausan hasil kebijaksanaannya.

Sang Merak dengan Sang Gagak


Alkisah satu masa dahulu di dalam sebuah rimba yang permai terdapat dua ekor burung yang bersahabat baik iaitu Sang Gagak dan Sang Merak. Pada masa itu Sang Gagak dan Sang Merak tidak mempunyai warna pada bulu mereka apatah lagi corak yang menarik.

Disebutkan dalam kisah mereka, pada suatu hari sedang mereka bersiar-siar di rimba itu, mereka terjumpa dengan beberapa tong cat yang bermacam-macam warna. Lantas timbullah idea dalam diri Sang Gagak untuk menggunakan cat tersebut untuk mewarnakan dirinya yang tidak berwarna berserta sahabat baiknya.

Hal tersebut dipersetujui oleh Sang Merak yang juga mahukan warna pada badannya. Dia mengemukakan cadangan untuk Sang Gagak melukis di badannya dulu sebelum dia pula mewarnakan badan Sang Gagak.

Sang Gagak yang dikenali sebagai seekor binatang yang kreatif dan berbakat mula melukis corak dan mewarnakan badan sang Merak. Hasilnya Sang Merak kelihatan cantik dengan warna barunya. Sesudah itu tibalah giliran Sang Merak untuk mewarnakan badan Sang Gagak.

Tetapi Sang Merak pula dikenali sebagai binatang yang tidak mempunyai bakat dan amat pemalas. Tanpa mahu memikir panjang, Sang Merak terus mengambil cat hitam dan dicampakkannya ke arah badan Sang Gagak. Hasilnya tubuh Sang Gagak berwarna hitam legam keseluruhannya.

Sang Merak yang kaget dengan kejadian itu terus melarikan diri. Setelah beberapa ketika Sang Gagak sudah tidak sabar untuk melihat dirinya yang baru. Dia berjalan cepat-cepat ke arah sungai berdekatan dan melihat dirinya pada riak air sungai tersebut.

Alangkah terkejutnya sang Gagak apabila melihat dirinya yang berwarna hitam keseluruhannya dari atas hingga ke bawah. Dengan rasa marah yang teramat sangat Sang Gagak terus mencari Sang Merak yang sudah lari jauh ke dalam rimba itu.


Begitulah ceritanya kenapa gagak membuat bunyi, "akk, akk" singkatan kepada "merak, merak". Ada yang mengatakan Sang Gagak terus mencari Sang Merak hingga ke hari ini. Dan Sang Merak terus menyembunyikan diri dari Sang Gagak walaupun dia selalu bermegah-megah dengan kecantikannya.

Perlumbaan Sang Arnab dengan Kura-Kura


Pada suatu hari, Sang Kura-kura sedang berjalan perlahan-lahan mengambil angin pagi di rimba. Tiba-tiba datang Sang Arnab yang memang terkenal antara binatang yang pantas di rimba itu.

"Eh, Kura-kura, ada kau di sini, mahu ke mana kau?", kata Sang Arnab membuka bicara.
"Ya, Arnab, aku tak ke mana-mana saja berjalan-jalan", jawab Sang Kura-kura.
"Kura-kura-Kura-kura, kasihan aku tengok kau ni, jalan pun lambat, bila kau mahu tiba ke destinasi", ejek Sang Arnab yang memang dikenali suka mengejek yang lemah.

"Tak apalah Sang Arnab, dah dijadikan aku begini, aku redha", kata Sang Kura-kura sambil terus berjalan meninggalkan Sang Arnab tadi.

Sang Arnab masih tidak berpuas hati kerana Sang Kura-kura sepertinya tidak terkesan akan sindirannya tadi. Lantas dia mengemukakan satu cabaran kepada Sang Kura-kura dengan niat mahu mengenakan dan memalukannya.

"Apa kata kalau kita berlumba Kura-kura, saja aku mahu bersaing dengan kau",

"Tidak apalah Arnab", jawab Sang Kura-kura ringkas.

"Tak kira Kura-kura kau mesti berlumba dengan aku juga besok, aku tunggu dekat tebing sungai sana", kata Sang Arnab tidak mempedulikan kata-kata Sang Kura-kura.

Keesokkan harinya, seluruh rimba datang untuk menyaksikan perlumbaan antara Sang Arnab dan Sang Kura-kura itu. Dengan Sang Kancil menjadi pengadilnya, perlumbaan yang dijadualkan bermula dari tebing sungai, menelilingi rimba dan tamat di tebing sungai kembali, perlumbaan itu dimulakan di tengah-tengah hiruk pikuk penyokong kedua-dua peserta.

Dengan pantasnya Sang Arnab berlari jauh meninggalkan Sang Kura-kura. Sedang Sang Kura-kura berjalan perlahan-lahan melepasi garisan mula.

Setelah beberapa ketika Sang Arnab berhenti di bawah sebatang pokok. Lalu dia memerhatikan kalau-kalau ada kelibat sang Kura-kura di belakangnya.

"Ah, pasti sudah jauh ku tinggalkan Kura-kura, garisan tamat pun dah dekat, mengantuk pula aku, baik aku tidur sekejap, bila aku terjaga nanti Kura-kura pasti belum memotong aku", fikir Sang Arnab.

Dengan rasa mengantuknya, Sang Arnab pun tidur di bawah pokok tersebut.

Tidak lama kemudian, Sang Kura-kura tiba di pokok tempat Sang Arnab sedang tidur. Dengan tidak mempedulikan Sang Arnab, Sang Kura-kura terus berjalan menuju garisan penamat.

Selepas beberapa ketika, Sang Arnab terjaga dari tidurnya. Dengan tergesa-gesa dia berlari menuju garisan penamat.

"Ish, lama pula aku tidur, entah-entah Sang Kura-kura sudah memotong aku", getusnya sendiri.


Sesampainya Sang Arnab di garisan penamat kelihatanlah Sang Kura-kura menerima ucapan tahniah dari binatang-binatang rimba yang lain kerana memenangi perlumbaan itu. Dengan rasa malunya Sang Arnab beredar pantas dari situ kerana tewas kepada Sang Kura-kura sambil diketawakan para penghuni rimba.

Sang Kancil dengan Sang Gajah



Bermulalah kisah pada suatu petang sang kancil yang cerdik bersiar-siar di dalam hutan belantara. Sedang ia bersiar-siar tiba-tiba sang kancil telah terjatuh ke jurang yang amat dalam. Ia cuba untuk keluar berkali-kali malangnya tidak berjaya. Setelah segala usaha yang dilakukan adalah sia-sia, sang kancil pun berfikir, 
"Macam mana aku nak keluar dari lubang yang sangat dalam ini."

Setelah lama berfikir namun tiada idea yang bernas untuk sang kancil keluar dari lubang tadi, namun sang kancil tetap tidak mahu berputus asa. Dalam kebuntuan mencari idea, sang kancil telah terdengar bunyi tapak kaki yang besar.
"Kalau bunyi tapak kaki macam ni, ni tak lain, mesti gajah ni!" 

Tiba-tiba Sang Kancil mendapat satu idea yang bernas untuk menyelamatkan diri untuk keluar dari lubang.Kemudian Sang gajah yang lalu itupun menegur sang kancil, 
"Eh sang kancil, tengah buat apa?" Tanya si Gajah.

"Menyelamatkan diri!" Jawab Sang Kancil.
"Dari apa?" Tanya gajah lagi.
"Dari bahaya, cuba tengok atas, langit nak runtuh, dah hitam." Balas sang kancil.

Gajah yang dungu ini pun terus mempercayai sang kancil bulat-bulat. 
"Habis tu macam mana nak selamatkan diri?" Tanya si gajah.
"Masuklah sekali dalam lubang ini, kalau langit runtuh pun selamat kita dekat sini."

Tanpa berfikir panjang sang gajah pun terus melompat ke dalam lubang untuk menyelamatkan dirinya. Kemudian sang kancil pun mengambil kesempatan untuk melompat di atas badan gajah dan terus keluar dari lubang yang dalam itu.


"Haha, padan muka engkau, selamat aku." Kata sang kancil dengan gembiranya.

Kemudian sang kancil pun berlalu pergi meninggalkan sang gajah yang masih terpinga-pinga di dalam lubang tadi.

Cerita Sang Kancil dengan Sang Buaya





Pada suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan. Sedang dia berjalan, tiba-tiba dia ternampak akan pepohon buah-buahan yang rimbun merendang di seberang sungai.
"Alangkah nikmatnya jika aku dapat merasai buah-buahan itu", fikirnya sendiri
"Tetapi, bagaimana aku hendak menyeberang ke sana, aku bukannya pandai berenang", timbul sedikit keraguan dalam dirinya.

Setelah mundar mandir memikirkan cara untuk menyeberang sungai itu, timbul satu idea untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.
"Nasib baik aku dikurniakan akal yang bijak", katanya sendirian sambil berlari ke tebing sungai untuk menjalankan misinya.
"Sang Bedal, ooo, Sang Bedal!", panggil Sang Kancil.

Tiba-tiba muncul ketua buaya-buaya di sungai itu. Dengan bengisnya dia berkata
"Apa kau mahu Kancil?", sambil matanya meliar memerhatikan tubuh Sang Kancil
"Alangkah enaknya kalau diratah kancil ni", fikirnya yang sedang kelaparan itu.
"Oh, begini, Raja Sulaiman menitahkan aku untuk menghitung berapa banyak buaya yang ada di sungai ini. Baginda mahu menjemput kalian ke kendurinya", mulalah Sang Kancil menjalankan tipu helahnya.
"Benarkah begitu!", serta merta nafsu lapar Sang Bedal mula menguasai diri dan dengan pantas dia memanggil anak buahnya.

Maka datanglah gerombolan buaya mengikut arahan tuan mereka.
"Jadi Sang Kancil tunggu apa lagi, cepatlah hitung bilangan kami sekarang", kata Sang Bedal kepada Sang Kancil.
"Hahaha, siap kau Bedal, mudahnya kau kena tipu dengan aku", kata sang Kancil dalam hati.
"Sabar Sang Bedal, aku fikir lebih baik jika kamu semua beratur hingga ke hujung sana. Lebih mudah untuk aku kira kamu semua", ujarnya.

Tanpa berfikir panjang, Sang Bedal mengarahkan anak buahnya untuk menurut cadangan Sang Kancil tadi. Selesai mereka beratur, mulalah Sang Kancil melompat ke atas buaya yang pertama.
"Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk", hitung Sang Kancil
Tiba sahaja di tebing sebelah sana, Sang Bedal bertanya,
"Jadi bila kami boleh pergi ke kenduri Raja Sulaiman, Kancil",
"Ada 30 ekor buaya yang bodoh di dalam sungai ini. Maaf Sang Bedal, sebenarnya tiada kenduri Raja Sulaiman, aku cuma mahu menikmati buah-buahan di sini. Hahaha, terima kasih Sang Bedal", kata sang Kancil dalam nada mengejek.

Sambil buaya-buaya lain mengerumuni Sang Bedal yang sedang keliru atas penipuan Sang Kancil, mereka bertanya,
"Jadi tak adalah makan", kata buaya yang pertama
"Kita semua dah kena tipu", kata buaya kedua
"Ini semua kau punya pasal", kata buaya ketiga sambil menyalahkan Sang Bedal. "Serang!!!", serentak mereka menjerit.

Lalu berlarilah Sang Bedal kerana dikejar anak-anak buahnya yang sedang marah. Sambil Sang Kancil dengan asyiknya menikmati buah-buahan itu.