Pak
Pandir suami Mak Andih dan mereka berdua tinggal di rumah buruk. Keadaan itu
menyebabkan Mak Andih risau kerana apabila hujan air masuk melalui atap rumah
mereka yang bocor. Mereka selalu basah dan kesejukan. Mak Andih cuba memujuk
Pak Pandir supaya membaiki rumah mereka.
“Eh,
manalah saya tahu! Itu kerja tukang rumah,” kata Pak Pandir cuba berdalih. Mak
Andih mendapat satu akal, dia membuat sebatang lorong yang bermula dari rumah
mereka. Lorong itu berbelit-belit merentas semak dan belukar yang akhirnya
lorong itu sampai semula ke rumah mereka.

Esoknya,
Mak Andih meminta Pak Pandir mencari kerja dan katanya, ada orang di hujung
kampung mencari tukang rumah. Dia hendak membaiki rumahnya yang sudah buruk dan
Mak Andih pun menyuruh Pak Pandir bekerja di sana dan lama-lama Pak Pandir
bersetuju. Maka, berjalanlah Pak Pandir mengikut lorong itu hingga sampai ke
sebuah rumah buruk.
Pak
Pandir pun membaiki rumah itu dan bekerja dengan tekun. Dia menukar atap yang
bocor, mengganti dinding yang kopak dan memaku semula lantai yang roboh.
Sepekan dia bekerja keras, tuan rumah melayannya dengan baik dan menghidangkan
Pak Pandir makanan dan minuman.
Pada
hari yang kelapan, rumah itu siap dibaiki dan rupanya seperti rumah baru. Pak
Pandir mendapat upah yang lumayan dan dia berlari-lari pulang. Dia menunjukkan
wang upahan kepada Mak Andih isterinya. Tiba-tiba Pak Pandir hairan dan dia
memandang ke sekeliling.
“Eh,
Andih! Rumah kita sudah dibaiki? Siapa yang baiki? Siapa tukangnya?” tanya Pak
Pandir.
“Ya,
bang. Rumah kita sudah pun dibaiki. Tukangnya tak lain tak bukan ialah Pak
Pandir!” jawab isterinya ketawa terkekeh-kekeh.
‘Apa!
Saya yang membaiki rumah ini?” tanya Pak Pandir sambil menggaru kepala. Dia pun
akhirnya ikut tertawa terkekeh-kekeh.
No comments:
Post a Comment