Al-kisah
terdapat seorang pemburu mempunyai seekor burung helang yang sangat bijak.
Setiap kali dia pergi berburu, pemburu itu mesti membawa burung itu bersama.
Pada
suatu hari, pemburu itu masuk ke dalam hutan untuk memburu dengan helang
kesayangannya. Sebaik tiba di dalam hutan, burung helang pun terbang sambil
melihat ke bawah mencari binatang yang diburu oleh tuannya.
Tiba-tiba
burung helang terbang dengan pantas ke satu tempat. Melihat reaksi helangnya,
pemburu tahulah bahawa burung helang nampak binatang yang diburu. Apabila tiba
ke tempat itu, pemburu nampak seekor pelanduk yang sedang enak memakan
buah-buahan hutan di situ. Tanpa disangka pemburu, si pelanduk sedar akan
kedatangan pemburu itu lalu menyelamatkan dirinya.
Pemburu
dan helangnya pun mengejar pelanduk itu yang lari naik bukit dan turun bukit
menyelamatkan dirinya daripada diburu. Pelanduk itu berlari dan terus berlari
sehingga tiba di tepi sungai ia pun berhenti. Pelanduk itu mula resah kerana ia
tidak boleh menyeberang sungai. Akhirnya pemburu pun berjaya menangkap pelanduk
itu setelah penat mengejarnya tadi.
Selepas
penat pemburu mengejar pelanduk itu, pemburu mula rasa sangat dahaga dan dia
pergi ke tepi sungai untuk mencedok air sungai itu dengan tangan.
Apabila
pemburu itu hendak meminum air sungai itu dengan tangan, tiba helangnya menepis
air di tangan pemburu. Pemburu itu mencedok air sungai sekali lagi, burung
helang menepis tangan tuannya sekali lagi.
Akibatnya
pemburu itu sangat marah lalu memanah ke arah burung helang kesayangan yang
sedang terbang itu. Burung helang itu pun jatuh menyembah bumi di tepian hulu
sungai.
Pemburu
itu berlari untuk mendapatkan burung helangnya dan mendapati helangnya telah
mati dengan matanya yang terbuka, seolah-olah berkata, “Tuan, kenapa tuan
memanah saya? Apa salah saya?”. Tidak jauh dari tempat burung helang itu jatuh,
pemburu itu ternampak seekor ular berbisa yang telah mati. Racun daripada ular
meleleh masuk ke dalam sungai.
Maka
pemburu itu sedar mengapa helangnya itu menepis tangannya setiap kali dia
hendak mencedok air sungai tersebut. Sesiapa yang meminum air sungai itu pasti
akan jatuh sakit kelak.
Rasa
kesal memanah helangnya pun membuak dalam hati pemburu itu. “Sungguh setia
helang aku, maafkan aku helang” kata pemburu itu pada helangnya yang mati itu.
No comments:
Post a Comment