Alkisah
satu masa dahulu di dalam sebuah rimba yang permai terdapat dua ekor burung
yang bersahabat baik iaitu Sang Gagak dan Sang Merak. Pada masa itu Sang Gagak
dan Sang Merak tidak mempunyai warna pada bulu mereka apatah lagi corak yang
menarik.
Disebutkan
dalam kisah mereka, pada suatu hari sedang mereka bersiar-siar di rimba itu,
mereka terjumpa dengan beberapa tong cat yang bermacam-macam warna. Lantas
timbullah idea dalam diri Sang Gagak untuk menggunakan cat tersebut untuk
mewarnakan dirinya yang tidak berwarna berserta sahabat baiknya.
Hal
tersebut dipersetujui oleh Sang Merak yang juga mahukan warna pada badannya.
Dia mengemukakan cadangan untuk Sang Gagak melukis di badannya dulu sebelum dia
pula mewarnakan badan Sang Gagak.
Sang
Gagak yang dikenali sebagai seekor binatang yang kreatif dan berbakat mula
melukis corak dan mewarnakan badan sang Merak. Hasilnya Sang Merak kelihatan
cantik dengan warna barunya. Sesudah itu tibalah giliran Sang Merak untuk
mewarnakan badan Sang Gagak.
Tetapi
Sang Merak pula dikenali sebagai binatang yang tidak mempunyai bakat dan amat
pemalas. Tanpa mahu memikir panjang, Sang Merak terus mengambil cat hitam dan
dicampakkannya ke arah badan Sang Gagak. Hasilnya tubuh Sang Gagak berwarna
hitam legam keseluruhannya.
Sang
Merak yang kaget dengan kejadian itu terus melarikan diri. Setelah beberapa
ketika Sang Gagak sudah tidak sabar untuk melihat dirinya yang baru. Dia
berjalan cepat-cepat ke arah sungai berdekatan dan melihat dirinya pada riak
air sungai tersebut.
Alangkah
terkejutnya sang Gagak apabila melihat dirinya yang berwarna hitam
keseluruhannya dari atas hingga ke bawah. Dengan rasa marah yang teramat sangat
Sang Gagak terus mencari Sang Merak yang sudah lari jauh ke dalam rimba itu.
Begitulah
ceritanya kenapa gagak membuat bunyi, "akk, akk" singkatan kepada
"merak, merak". Ada yang mengatakan Sang Gagak terus mencari Sang
Merak hingga ke hari ini. Dan Sang Merak terus menyembunyikan diri dari Sang
Gagak walaupun dia selalu bermegah-megah dengan kecantikannya.
No comments:
Post a Comment